Rabu, 6 Februari 2019 | 2:45pm

Identiti mayat rentung dikenal pasti

KAJANG: Identiti tiga mayat rentung dalam kemalangan di Kilometer 6.9 Lebuhraya SILK arah Sungai Long di sini, petang semalam sudah dikenal pasti.

Dalam kemalangan jam 6.20 petang itu, kereta BMW X3 yang dinaiki mangsa dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri laluan berkenaan sebelum terbakar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata mangsa adalah sepasang suami isteri warga emas dan seorang anak lelaki mereka.

“Mangsa dikenal pasti sebagai Goh Soay Sing, 68, isterinya, Saw Yeng Fui, 65, dan anak lelaki mereka, Goh Tian Hing, 44, yang semuanya beralamat di Taman Anggerik Emas, Kajang.

“Daripada maklumat awal yang diperoleh, mereka sekeluarga dipercayai dalam perjalanan pulang dari Balakong selepas menghantar seorang ahli keluarga mereka ke stesen pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kemalangan.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Tian Hing hilang kawalan dan terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Turut berada dalam kenderaan itu adalah ibu pemandu yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dan bapanya yang duduk di tempat duduk penumpang belakang.

“Siasatan di lokasi kemalangan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, jalan adalah sehala dengan tiga lorong dan tiada saksi yang dikesan setakat ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

KEADAAN kereta BMW X3 yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 6.9 Lebuhraya SILK arah Sungai Long, petang semalam. - Foto BERNAMA
Berita Harian X