Jumaat, 1 Februari 2019 | 2:40pm
PEGAWAI Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin memeriksa peralatan perjudian online yang dirampas dalam serbuan di Cheras. - Foto Hafiz Sohaimi
PEGAWAI Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin memeriksa peralatan perjudian online yang dirampas dalam serbuan di Cheras. - Foto Hafiz Sohaimi

3 pusat judi online diserbu, 16 ditahan

KAJANG: Satu sindiket judi dalam talian dikesan mengaut untung mencecah belasan juta ringgit sebulan hasil pertaruhan menerusi laman web perjudian mensasarkan warga tempatan.

Kegiatan sindiket terbabit yang beroperasi di tiga unit rumah sebuah apartmen mewah di Bandar Mahkota, Cheras di sini, terbongkar susulan risikan dan serbuan pasukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Menerusi serbuan serentak di tiga premis bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 12 tengahari itu, polis menahan 16 individu termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pekerja mengendalikan transaksi pertaruhan perjudian.

Polis turut merampas pelbagai peralatan perjudian online antaranya 22 monitor komputer, 11 unit pemprosesan komputer (CPU), telefon bimbit (42), kad sim (30) , komputer riba (tiga) dan dua modem internet.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata siasatan awal mendapati sindiket terbabit aktif sejak enam bulan lalu dan membangunkan lapan laman web perjudian untuk menjalankan aktiviti pertaruhan.

“Sasaran mereka adalah warga tempatan dan mereka akan menghantar mesej promosi perjudian secara rawak kepada nombor-nombor telefon bimbit.

“Mereka turut mempromosikan aktiviti mereka menerusi aplikasi WeChat dan semua urusan transaksi antara sindiket dengan pemain menggunakan aplikasi terbabit.

“Kita anggarkan sindiket ini mengendalikan kira-kira empat juta pertaruhan online dalam sebulan membabitkan pelbagai jenis perjudian dengan anggaran keuntungan mencecah RM2 juta untuk setiap laman web yang digunakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemain hanya perlu membayar ‘tambah nilai’ serendah RM10 untuk berjudi dan sindiket akan memberikan nama pengguna dan kata laluan untuk mereka bertaruh dalam laman-laman web terbabit.

“Kita masih meneruskan siasatan untuk mengesan dalang utama sindiket ini dan kita percaya sindiket ini turut menjalankan operasinya di beberapa lokasi lain.

“Semua suspek yang ditahan dan peralatan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Berita Harian X