Rabu, 30 Januari 2019 | 9:24am
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Warga emas 70 tahun antara ditahan kes dadah

PARIT BUNTAR: Lelaki berusia 70 tahun ditahan dalam serbuan polis ke ‘port’ melepaskan gian di kawasan pasar awam lama, Tanjung Piandang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata warga emas itu antara 23 penagih yang ditahan dalam Ops Sarang bermula jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan dalam serbuan dengan kerjasama anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kerian itu berusia antara 30 hingga 70 tahun.

“Dalam serbuan itu polis menahan empat lelaki serta merampas 25.7 gram dadah jenis Methaphetamine dan 0.5 gram heroin.

“Empat lelaki ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2)1, dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selebihnya, seramai 19 lagi yang ditahan diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut,” katanya dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi akan diteruskan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

Berita Harian X