Jumaat, 25 Januari 2019 | 3:08pm
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - Foto Farizul Hafiz Awang
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pesara rugi RM20,500 angkara Macau Scam

JERANTUT: Taktik sindiket Macau Scam dengan menakut-nakutkan seorang pesara kerajaan kononnya terbabit dalam kes langgar lari berhasil apabila warga emas itu kerugian sehingga RM20,500.

Episod hitam itu bermula Isnin lalu apabila mangsa berusia 60 tahun dan tinggal di Kuala Tahan di sini, dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek mendakwa mangsa terbabit dengan kes langgar lari remaja berusia 14 tahun di Seremban menggunakan kereta Honda yang disewa atas namanya.

“Bagi menakutkan lagi mangsa, suspek turut mendakwa kes yang dihadapi oleh mangsa berat kerana polis turut menemui sejumlah dadah dalam kenderaan berkenaan.

“Mangsa kemudian dirujuk kepada seorang lagi suspek yang mendakwa pegawai polis bernama Inspektor Cheah Way K melalui sambungan panggilan untuk diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kata Mohd Wazir, bagi menyakinkan lagi lakonan itu, mangsa juga diberi beberapa keping gambar penjenayah melalui aplikasi WhatsApp yang kononnya dikatakan geng kepada pesara itu.

“Seterusnya, panggilan disambung kepada seorang lagi pegawai polis bernama Tuan Peck dan mangsa diminta membayar wang jaminan RM20,500 atau akan ditahan,” katanya.

Bagi mengelak ditahan, tambah beliau, mangsa akur dengan arahan berkenaan lalu menyerahkan kata laluan dan nama penguna akaun perbankan internetnya untuk tujuan pembayaran wang jaminan.

“Mangsa turut menyerahkan dua nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada pegawai terbabit dengan jumlah transaksi RM14,400. Seterusnya dia memasukkan RM6,100 ke akaun sebuah bank seperti diminta,” katanya.

Tambah Mohd Wazir, mangsa kemudian dihubungi pihak bank untuk pengesahan transaksi berkenaan dan dinasihatkan membuat laporan polis kerana disyaki sudah ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Jerantut, semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X