Jumaat, 25 Januari 2019 | 3:02pm

Lelaki berdepan tuduhan salah guna RM1 juta harta milik Datuk

PETALING JAYA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta milik individu bergelar Datuk bernilai RM1 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Fadlan Zulkefli, 35, yang menderita penyakit usus bengkak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan RHB Bank, Jalan USJ 10/1A, Pusat Perniagaan USJ10, Subang Jaya di sini pada 15 Mei 2017 lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda.

Melalui pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran itu, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan harta milik Datuk Seri Mohamad Nadjion Nasir berjumlah RM1 juta yang sepatutnya dipulangkan semula kepada beliau.

Menurut Alia Sumayyah, tertuduh sepatutnya membayar RM1 juta kepada satu pihak bagi mendapatkan Kelulusan Terbuka (AP) bagi satu urusan perniagaan, namun ia gagal diperoleh.

“Tertuduh didakwa tidak memulangkan semula wang milik Datuk selepas AP yang dimohon gagal diperoleh,” katanya.

Terdahulu, peguam Mohd Yusri Mohd Yusoff, yang mewakili Ahmad Fadlan, meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan atas sebab tertuduh perlu menanggung dua orang anak yang masing-masing berumur lima dan lapan tahun selain masih menjaga ibu yang sudah uzur.

“Tertuduh hanya memperoleh gaji RM2,000 sebulan dan penanggung tunggal dalam keluarga, sementara isteri pula hanya suri rumah.

“Jumlah jaminan yang terlalu tinggi akan membebankan tertuduh dan keluarga. Isteri tertuduh juga boleh memastikan tertuduh hadir ke mahkamah pada tarikh perbicaraan seterusnya,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport harus diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman.

Selain itu, mahkamah menetapkan 7 Mac depan bagi tarikh perbicaraan seterusnya.

Berita Harian X