X
Jumaat, 25 Januari 2019 | 8:37am
Mohd Khaizam (dua dari kanan) ketika Operasi Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) di pusat perjudian di sekitar Puchong. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Mohd Khaizam (dua dari kanan) ketika Operasi Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) di pusat perjudian di sekitar Puchong. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Sindiket judi dalam talian tumpas

SERDANG: Sindiket judi dalam talian yang beroperasi di dua premis diserbu polis dalam Ops Dadu tengah malam tadi.

Dalam serbuan serentak bermula jam 12 tengah malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Selangor menyerbu dan memeriksa premis berkenaan di sekitar Taman Kinrara Puchong, dekat sini.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata menerusi operasi itu, pihaknya menahan tiga penjaga premis warga asing termasuk seorang wanita Indonesia dan sembilan pemain judi yang berusia antara 26 hingga 53 tahun.

Katanya, turut dirampas 13 tablet, lima komputer riba, tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,206 sebagai bahan bukti siasatan.

“Menerusi operasi lokasi pertama, kita dapati penjaga premis menggunakan modus operandi aplikasi WeChat. Di setiap ‘server’ judi itu, pemain akan diberikan kod nombor sebagai rujukan untuk membuat pertaruhan menerusi aplikasi terbabit.

“Menariknya di lokasi kedua, ia baru beroperasi empat hari. Kita dapati premis itu menerima jumlah pertaruhan sehingga RM33,000 dalam tempoh sehari,” katanya ketika ditemui di premis itu, hari ini.

Beliau berkata, tahanan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Berita Harian X