Rabu, 23 Januari 2019 | 6:21pm
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (tiga, kiri) menunjukkan barang kes judi online yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. Pada 21 Jan 2019, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 IPK Kuala Lumpur dibantu Unit IT Forensik Bukit Aman serta JSJ IPD Dang Wangi telah melancarkan serbuan serta menahan 92 orang di sekitar Kuala Lumpur dan berjaya merampas beberapa jenis barangan bernilai RM430,000. - Foto BERNAMA

92 berjudi melalui WeChat diberkas

KUALA LUMPUR: Seramai 92 warga asing termasuk tujuh wanita berusia antara 17 hingga 49 tahun ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan judi dalam talian di Plaza Sun (Sun Complex), Bukit Bintang, di sini, awal pagi kelmarin.

Serbuan dijalankan jam 1.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti pertaruhan judi dalam talian menggunakan aplikasi WeChat.

“Serbuan dilakukan ke atas sebuah premis kediaman yang dijadikan pejabat serta tempat tinggal semua warga asing terdiri daripada 83 lelaki dan tujuh wanita warga China serta dua orang lelaki warga Myanmar yang mengendalikan judi dalam talian di China.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati hanya tiga daripada mereka memiliki pasport, manakala selebihnya tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam sidang media di sini petang tadi.

Beliau berkata pihaknya percaya dokumen perjalanan disimpan oleh ejen yang mengendalikan kemasukan semua suspek terbabit ke negara ini.

“Ketika serbuan polis turut merampas 212 set komputer; (20) komputer riba; (1) tablet; (93) telefon bimbit; (9) router dan (7) unit modem TM wifi yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM430,000.

“Siasatan juga mendapati setiap individu yang membuat pertaruhan judi dalam talian diwajibkan memasukkan wang berjumlah RM2,000 yang dikendalikan di China sebelum pengendali di negara ini membuka akaun untuk memulakan pertaruhan,” katanya.

Mazlan Lazim berkata pihaknya sedang menyiasat rangkaian sindiket sama yang turut dipercayai didalangi rakyat tempatan.

Berita Harian X