Rabu, 23 Januari 2019 | 11:58am
PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi merampas pelbagai jenis mercun bernilai lebih RM3,000 di sebuah pondok di Sungai Kilim, awal pagi ini. - Foto PPM
PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi merampas pelbagai jenis mercun bernilai lebih RM3,000 di sebuah pondok di Sungai Kilim, awal pagi ini. - Foto PPM

Polis Marin rampas mercun RM3,000

LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi merampas pelbagai jenis mercun bernilai lebih RM3,000 di sebuah pondok di Sungai Kilim, awal pagi ini.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid, berkata serbuan pada jam 1.29 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas pondok di tepi sungai itu menemui tiga bungkus plastik hitam yang mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Mercun terbabit dipercayai ditinggalkan di pondok tidak berpenghuni dipercayai bagi dijual di Langkawi sempena Tahun Baharu Cina.

“Semua mercun ini kemudian dibawa balik ke PPM Wilayah Satu Langkawi untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rohizan berkata, serbuan dilakukan menerusi Ops Landai Bilangan 10/2019 dan siasatan dijalankan mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

“PPM akan terus menjalankan pemantauan di semua jeti persendirian atau laluan tidak sah bagi mengekang kegiatan penyeludupan mercun,” katanya.

Berita Harian X