Selasa, 22 Januari 2019 | 8:14pm
Ular sawa batik sepanjang kira-kira satu meter yang berada di lampu bahagian siling. - Ihsan Bomba
Ular sawa batik sepanjang kira-kira satu meter yang berada di lampu bahagian siling. - Ihsan Bomba

Kecoh ular sawa masuk pejabat

MELAKA: Suasana tenang di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Melaka Tengah, Ayer Keroh, di sini, bertukar kecoh apabila didatangi ‘tetamu tidak diundang’, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu mengakibatkan pekerja wanita lari ketakutan sebaik diberitahu mengenai kemunculan seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira satu meter yang berada di lampu bahagian siling.

Jurucakap JKM berkata, ketika kejadian terdapat lebih 10 kakitangan berada di ruangan pejabat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak pasti bagaimana ular berkenaan boleh berada di situ dan berkemungkinan reptilia itu masuk melalui saluran pendingin udara.


Anggota bomba menangkap ular sawa batik yang berada di lampu bahagian siling. - Ihsan Bomba

“Ular sawa ini muncul di siling lampu dan tidak pasti dari mana datangnya.

“Kehadiran reptilia itu menyebabkan beberapa kakitangan wanita menjerit ketakutan lalu berlari keluar,” katanya.

Difahamkan, sebelum ini sudah beberapa kali pejabat terbabit dimasuki ular dan lokasi bangunan yang berada berhampiran kawasan hutan menjadi faktor kehadiran reptilia berkenaan.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik, berkata ular sawa berkenaan berjaya ditangkap anggota bomba selepas pihaknya memaklumkan kejadian itu.

Berita Harian X