Selasa, 22 Januari 2019 | 6:37pm
PEGAWAI Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin (kanan) menunjukkan barang yang dirampas di Taman Melawati. - Foto Ihsan PDRM
PEGAWAI Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin (kanan) menunjukkan barang yang dirampas di Taman Melawati. - Foto Ihsan PDRM

D7 Selangor serbu pusat operasi judi online

AMPANG JAYA: Cubaan sindiket judi dalam talian beroperasi di banglo mewah tiga tingkat untuk mengelak dikesan polis gagal apabila diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Taman Melawati, di sini, hari ini.

Dalam dua serbuan ke atas dua unit banglo pada jam 1 tengah hari yang diketuai Inspektor Yap Keat Hua itu, seramai 23 individu termasuk dua wanita warga China ditahan.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata semua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 36 tahun dan premis itu sudah beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Selain menahan suspek, kita turut merampas peralatan yang digunakan untuk menjalankan operasi mereka iaitu 10 komputer riba, 10 komputer dan 85 telefon pintar.

“Hasil soal siasat, semua pekerja warga China yang ditahan dibayar RM3000 sebulan sebagai upah untuk mempromosi kegiatan perjudian dalam talian kepada warga China,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas tamat operasi, hari ini.

Mohd Khaizam berkata, sindiket mempromosikan perjudian atas talian itu menggunakan media sosial khas buat warga China.

“Pusat operasi ini (banglo) hanya dijadikan sebagai pusat pengurusan dan pemasaran untuk menarik pelanggan dari China untuk berjudi melalui laman web yang disediakan.

“Setakat ini, polis masih mengesan dalang utama yang menjalankan operasi di sini,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk proses dokumentasi.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Berita Harian X