Isnin, 21 Januari 2019 | 11:43pm
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah van pekerja dan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Chinchang, Jalan Sepang Salak Lama, Sepang. - Foto Ihsan pembaca

Kanak-kanak parah

SEPANG: Empat termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kampung Chinchang, Jalan Sepang Salak Lama, di sini, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norizham Mohd Nudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.30 petang.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya mengerahkan seramai 10 anggota menaiki tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke tempat kejadian.

“Setelah tiba di lokasi, kita dapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah van pekerja yang bertembung dengan sebuah kereta PROTON Wira.

“Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa terbabit yang tersepit di dalam dua kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiga daripada empat mangsa termasuk kanak-kanak yang parah itu menaiki PROTON Wira.

“Seorang lagi yang parah ialah penumpang lelaki van terbabit.

“Pada masa sama, ada dua lagi remaja perempuan yang tersepit akibat kemalangan itu, namun dipercayai hanya mengalami kecederaan ringan.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut,” katanya.

Berita Harian X