Ahad, 20 Januari 2019 | 11:10pm
Kenderaan jenis Toyota Alphard yang dipandu seorang lelaki dirampas kerana disyaki ditukar nombor pendaftaran, nombor casis dan nombor enjinnya malah ia dipercayai hilang di Selangor. - Ihsan PDRM
Kenderaan jenis Toyota Alphard yang dipandu seorang lelaki dirampas kerana disyaki ditukar nombor pendaftaran, nombor casis dan nombor enjinnya malah ia dipercayai hilang di Selangor. - Ihsan PDRM

Lelaki pandu kereta curi ditahan

BUKIT KAYU HITAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kerana memandu kereta curi Toyota Alphard dan menggunakan nombor pendaftaran palsu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata suspek ditahan jam 7.50 malam oleh anggota polis yang bertugas di sekatan check point F Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sempadan (ICQS).

Beliau berkata, kenderaan itu kemudian dibawa pulang ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati nombor casis kenderaan itu sudah diganggu, manakala nombor enjinnya dikesan dilaporkan hilang bersangkut kes di Bukit Jelutong, Selangor.

“Siasatan lanjut juga mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu juga palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, susulan itu suspek yang bekerja sendiri dan menetap di Kuala Lumpur ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku sudah dua kali menggunakan kenderaan dengan nombor palsu itu masuk ke Thailand.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Berita Harian X