Jumaat, 18 Januari 2019 | 12:52pm
Timbalan Pendakwaraya, Hamdan Hamzah sebagai Pegawai Pengendali Inkues hadir di Mahkamah Sesyen 8 berhubung sebutan kali pertama pengurusan kes inkues kematian anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muhammad Adib Mohd Kassim di Komplkes Mahkamah Shah Alam. - Foto Eizairi Shamsudin

Enam doktor dan pakar forensik beri keterangan inkues Adib

KUALA LUMPUR: Enam doktor dan pakar forensik akan dipanggil memberikan keterangan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pegawai Pengendali inkues, Hamdan Hamzah memaklumkan kepada Koroner Rofiah Mohamad, saksi doktor yang memberikan keterangan itu terbabit merawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN).

Hamdan berkata, enam individu itu adalah di antara 30 saksi dalam prosiding inkues yang berlangsung selama 52 hari dijadualkan bermula pada 11 Februari ini.

“Saksi lain yang akan dipanggil memberikan keterangan ialah anggota bomba, polis, pasukan perubatan dan orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Kami dengan ini memohon arahan daripada koroner bagaimana untuk mengendalikan prosiding inkues ini.

“Kita mempunyai 30 saksi ... Saya cadangkan inkues ini memberikan arahan berhubung pihak mana yang berkepentingan dan boleh mengemukakan soalan dalam prosiding ini,” katanya.

Rofiah kemudian memutuskan hanya pihak berkepentingan iaitu peguam bagi ahli keluarga dan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) boleh mengemukakan soalan.

Berhubung permohonan peguam Majlis Peguam dan peguam Jawatankuasa Petugas Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya untuk menjadi pihak dalam prosiding dan menyoal saksi, Rofiah menetapkan pada 31 Januari ini untuk memberikan keputusan.

Sementara itu, Rofiah turut membenarkan permohonan peguam SUHAKAM, Mansoor Saat untuk bertindak sebagai peguam pemerhati.

Dalam prosiding hari ini, keluarga Muhammad Adib diwakili barisan lima peguam diketuai peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Mohd Kamaruzaman berkata, pihaknya dilantik oleh bapa si mati, Mohd Kassim Abdul Hamid dalam prosiding inkues itu.

“Kami percaya bahawa kami adalah pihak berkepentingan,” katanya.

Terdahulu, peguam Syazlin Mansoor yang mewakili KPKT dan JBPM memberitahu koroner, JBPM adalah pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kerana jabatan itu turut terbabit dalam siasatan kematian Muhammad Adib.

Peguam Mansor bagi pihak SUHAKAM pula berkata, apa-apa isu yang dibangkitkan dalam prosiding itu membabitkan perkara hak asasi manusia, oleh itu ia (SUHAKAM) adalah pihak yang berkepentingan.

Majlis Peguam yang diwakili peguam Cyrus Tiu Foo Woei berkata, Majlis Peguam mempunyai kepentingan berdasarkan Seksyen 42(g) Akta Profesion Undang-Undang 1976 kerana insiden itu membabitkan kepentingan awam.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Berita Harian X