Khamis, 17 Januari 2019 | 11:56pm
ANGGOTA bomba membawa naik mangsa ke tebing selepas van dan lori terjatuh ke dalam gaung di Jalan Tekali, Hulu Langat, petang tadi. - Foto NSTP

Dua maut van masuk gaung

HULU LANGAT: Dua maut selepas van mereka dinaiki terjunam ke dalam gaung selepas dipercayai dilanggar lori di Jalan Tekali, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang tadi.

“Enam pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan membawa muatan batu yang melanggar sebuah van sebelum kedua-dua kenderaan itu menjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


ANGGOTA bomba membawa naik mangsa ke tebing selepas van dan lori terjatuh ke dalam gaung di Jalan Tekali, Hulu Langat, petang tadi. - Foto NSTP

Norizham berkata, seorang daripada mangsa yang menaiki van tercampak keluar, manakala seorang lagi terperosok di dalam van.

“Ketika anggota tiba, kami mendapati pemandu lori terbabit tiada di lokasi. Difahamkan lelaki berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan dilaporkan cedera sebelum dibawa ke hospital berhampiran.

“Kami mengambil masa beberapa minit untuk membawa naik kedua-dua mangsa ke tebing sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Berita Harian X