Rabu, 16 Januari 2019 | 1:37pm

Geng Lakia Teck tumpas, 4 dalang ditahan

MIRI: Geng Lakia Teck, kumpulan samun dan curi kenderaan yang aktif di bandar raya ini, akhirnya tumpas selepas empat dalang utamanya ditahan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata empat suspek berusia 28 hingga 40 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Miri dan Long Lama, masing-masing pada 4 serta 5 Januari lalu.

Katanya, polis turut menemui lapan kenderaan yang dilaporkan hilang di bandar raya ini, termasuk dua sudah dijual di kawasan pedalaman.

“Semua kenderaan membabitkan kereta, motosikal, van dan lori yang dilaporkan hilang sejak tahun lalu ditemui di kawasan terpencil di Long Lama di wilayah utara Sarawak.

“Sebuah van hanya tinggal rangka dan terbakar, komponennya sudah dileraikan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati kumpulan terbabit aktif dalam kegiatan samun dan curi kenderaan yang kemudian dibawa ke kawasan pedalaman untuk dijual pada harga murah.

Sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dikesan dijual hanya RM12,000, manakala kenderaan bernilai rendah akan dileraikan komponennya sebelum kenderaan itu dimusnahkan.

Katanya, semua suspek pernah ditahan polis sebelum ini atas kesalahan sama, namun dikesan masih meneruskan kegiatan itu.

“Polis percaya masih terdapat saki baki kumpulan terbabit dan usaha mengesan semua suspek giat dijalankan,” katanya

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi.

Berita Harian X