Selasa, 8 Januari 2019 | 2:35pm
ANGGOTA polis mengangkat mayat pelancong wanita warga China yang lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Mengalum, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Polis
ANGGOTA polis mengangkat mayat pelancong wanita warga China yang lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Mengalum, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Polis

Wanita China lemas ketika snorkeling

KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga China lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling bersama dua rakannya di perairan Pulau Mengalum, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Chen Shao Ling, 26, dipercayai tersedak air akibat dipukul ombak kerana ketika itu keadaan berombak dan berangin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata seorang pemandu pelancong yang melihat situasi itu segera menarik mangsa ke tepi pantai dan memberi bantuan pernafasan (CPR) bersama pemandu bot.

“Bagaimanapun, tiada tindak balas dari mangsa lalu mereka membawanya ke Jeti Marina sebelum diperiksa oleh seorang doktor. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia jam 1.03 tengah hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya yang juga warga China tiba di negeri ini pada 5 Januari lalu dan menginap di sebuah hotel.

“Semalam, jam 8.30 pagi, mangsa bersama dua rakannya menaiki bot ke Pulau Mengalum untuk melakukan aktiviti snorkeling. Sebelum itu, mangsa dan beberapa pelancong lain sudah diberi taklimat keselamatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dan siasatan masih diteruskan dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X