Ahad, 6 Januari 2019 | 11:58pm
Tinjauan di kediaman kes kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang melecur disimbah air panas oleh bapanya di Georgetown, 27 Disember lalu. - NSTP/Ramdzan Masiam
Tinjauan di kediaman kes kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang melecur disimbah air panas oleh bapanya di Georgetown, 27 Disember lalu. - NSTP/Ramdzan Masiam

Lelaki simbah anak dengan air panas ditahan

GEORGETOWN: Lelaki yang menyimbah anak perempuannya dengan air panas ditahan polis di hadapan kedai durian, Paya Terubong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata suspek berusia 41 tahun itu ditahan bersama isterinya yang berusia 33 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan suami isteri terbabit juga bebas daripada pengaruh dadah.

“Kedua-dua mereka akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 pagi, 27 Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan melecur di badan selepas disiram air panas oleh bapanya.

Bapa bersama ibunya kemudian melarikan diri selepas kejadian itu.

Mangsa yang juga anak tunggal perempuan daripada empat adik beradik, masih mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Suspek dikatakan berang kerana mangsa menghabiskan makanan yang dimasak isterinya ketika dia pulang ke rumah.

Berita Harian X