Khamis, 3 Januari 2019 | 11:56am

Tertuduh dibenar jalani pemeriksaan psikiatri

BATU GAJAH: Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan bunuh dan melupuskan mayat rakan sekerja mereka dalam kejadian di Kampung Gajah, dekat sini dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Noor Izwan Mat Zamin, 19, dan Mohamad Amier Amzar Mohd Aspar, 22, didakwa membunuh Md Ovaidul, 32, warga Bangladesh yang bekerja di ladang lembu milik bapa Mohamad Amier Amzar.

Kedua-duanya didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di Sungai Kinta, kawasan Sungai Galah, Kampung Gajah di dalam daerah Perak Tengah, antara jam 8.20 malam hingga 10.20 malam, 15 Disember lalu.

Bagi pertuduhan pertama itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Mohamad Amier Amzar dan Muhammad Noor Izwan.

Pertuduhan kedua, rakan yang bekerja di ladang lembu sama itu didakwa secara bersama melupuskan mayat Md Ovaidul di lokasi dan masa yang sama dengan niat menyembunyikan pembunuhan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan dikenakan denda.

Mohamad Amier Amzar yang juga suspek utama diwakili peguam Mahinderjit Singh dan Muhammad Noor Izwan tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Nur Farhana Hashim di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Mahinderjit memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dihantar untuk pemeriksaan psikiatri mengikut Seksyen 342 (1) Kanun Prosedur Jenayah kerana dimaklumkan ahli keluarga Mohamad Amier Amzar tertuduh berkenaan kurang siuman.

Mohd Fitri kemudian membenarkan tertuduh berkenaan dihantar ke Hospital Bahagia Hulu Kinta, Tanjung Rambutan selama sebulan, manakala seorang lagi tertuduh tidak dibenarkan jamin dan sebutan semula kes ditetapkan 30 Januari ini di Mahkamah Majistret Parit.

Pada 18 Disember lalu polis menerima maklumat awam penemuan satu mayat reput dalam sungai yang selepas dibawa ke darat, mayat didapati diikat dengan tali pada kaki kanannya dan tali itu pula diikat pada sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang dipercayai dijadikan sebagai pemberat bagi menenggelamkan mayat.

Terdapat kesan kelar pada leher mangsa dan dua kesan luka di belakang kepala mangsa di mana siasatan awal polis mendapati mangsa dibunuh pada 15 Disember lalu.

Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa apabila suspek memaklumkan kepada isterinya yang dia keluar makan bersama mangsa pada hari kejadian, namun mangsa menafikan perkara itu.

MUHAMMAD Noor Izwan Mat Zamin (dua dari kiri) dan Mohamad Amier Amzar Mohd Aspar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini, bagi pertuduhan bunuh dan melupuskan mayat rakan sekerja mereka dalam kejadian di Kampung Gajah, dekat sini dua minggu lalu. - Foto Muhaizan Yahya
MUHAMMAD Noor Izwan Mat Zamin (dua dari kiri) dan Mohamad Amier Amzar Mohd Aspar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini, bagi pertuduhan bunuh dan melupuskan mayat rakan sekerja mereka dalam kejadian di Kampung Gajah, dekat sini dua minggu lalu. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X