Rabu, 2 Januari 2019 | 5:27pm

Reman pasangan dera anak dilanjut seminggu

JOHOR BAHRU: Tempoh reman terhadap pasangan suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian anak lelaki mereka berusia lima tahun selepas disyaki menjadi mangsa dera dekat Bandar Dato’ Onn di sini, disambung tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata tempoh tahanan reman bapa kandung mangsa dan ibu tiri mangsa itu bermula 3 hingga 9 Januari itu dibenarkan Majistret Mohammad Salehuddin Abd Sani.

“Permohonan lanjutan reman terhadap pasangan itu dibenarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki itu maut selepas disyaki menjadi mangsa dera ibu tirinya di rumah mereka dekat Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.

Mangsa dipercayai pengsan ketika dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor di wad kecemasan hospital berkenaan.

Berikutan itu, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan pasangan suami isteri yang disyaki terbabit dalam kejadian itu ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis juga tidak menolak adik kepada kanak-kanak lelaki itu dirujuk kepada pakar kanak-kanak dan psikiatri untuk pemeriksaan lanjut selepas turut disyaki turut didera.

Berita Harian X