Rabu, 26 Disember 2018 | 10:53am
ANGGOTA APM Kubang Pasu menunjukkan seekor ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter yang berjaya ditangkap di sebuah rumah penduduk di Kampung Wang Tepus. - ihsan APM

Tedung selar atas siling

JITRA: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu mengambil masa hampir dua jam untuk mengesan pergerakan ular tedung selar yang mengejar biawak di rumah penduduk di Kampung Wang Tepus di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, reptilia sepanjang kira-kira empat meter itu dikesan masuk melalui bahagian dapur rumah penduduk, Mohd Fikrie Din, 40, yang kemudian menghubungi APM Kubang Pasu.

Ketua Skuad Charlie APM Kubang Pasu, Sajiri Kassim, berkata seramai empat anggota terbabit dalam operasi mengesan ular berkenaan dan mereka terpaksa menyelongkar bahagian dapur rumah pengadu.

Bagaimanapun katanya, ketika usaha mengesan sedang dilakukan, mereka terdengar bunyi pergerakan di bahagian siling rumah dan mengesyaki reptilia itu berada di bahagian bumbung.

“Seorang anggota kami kemudian ternampak bahagian badan ular berkenaan, namun apabila menyedari terancam reptilia itu masuk semula ke bahagian siling.

“Anggota kami berjaya menemui ular tedung selar itu di bahagian penjuru kiri siling tandas rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sajiri berkata, ular tedung selar itu bertindak agresif dan cuba menyerang anggotanya sebelum reptilia itu berjaya ditangkap.

Katanya, terdahulu mereka turut menangkap seekor biawak di atas siling yang dipercayai menjadi sumber makanan ular berkenaan yang mengejarnya sebelum kedua-dua haiwan itu ditangkap.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa, menasihatkan orang ramai yang menemui ular berbisa seperti itu atau apa juga spesis ular supaya menghubungi pihaknya untuk membantu menangkapnya kerana mereka mempunyai kemahiran selain bimbang keselamatan terancam.

Beliau berkata, ular biasanya mencari tempat perlindungan yang sejuk seperti kediaman manusia untuk mencari sumber makanan seperti biawak, ayam dan kucing

Berita Harian X