X
Isnin, 24 Disember 2018 | 4:47pm
Shaiful Azwira (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan melakukan pemerasan untuk menyebarkan gambar bogel seorang pekerja hotel wanita dua minggu lalu. - NSTP/Aswadi Alias
Shaiful Azwira (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan melakukan pemerasan untuk menyebarkan gambar bogel seorang pekerja hotel wanita dua minggu lalu. - NSTP/Aswadi Alias

Ugut sebar gambar bogel, bekas pengurus didakwa

AMPANG: Bekas pengurus syarikat produksi didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan melakukan pemerasan untuk menyebarkan gambar bogel seorang pekerja hotel wanita dua minggu lalu.

Tertuduh, Shaiful Azwira Abdul Jabbar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Shaiful Azwira didakwa melakukan pemerasan iaitu dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang wanita berusia 25 tahun untuk menyebarkan gambar bogel mangsa.

Perbuatan tertuduh itu dengan curangnya mendorong mangsa supaya menyerahkan wang tunai RM1,000 atau melakukan hubungan seks empat kali sebulan dengan tertuduh.

Tertuduh yang dituduh mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah lokasi di Lembah Jaya Permai, Ampang di sini pada jam 11 malam, 7 Disember lalu.

Jika bersabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda atau boleh disebat.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak, memberitahu mahkamah pihaknya tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, bagaimanapun Shaiful Azwira memohon diikat jamin kerana dia penyara tunggal keluarga.

Katanya, dia yang tidak bekerja, mempunyai dua isteri dan lapan anak.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi dan mangsa.

Mahkamah turut menetapkan pada 15 Februari depan bagi sebutan kes.

Berita Harian X