Ahad, 23 Disember 2018 | 3:03pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat. - Foto Shahiman Sharip
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat. - Foto Shahiman Sharip

Polis masih tunggu laporan bedah siasat kedua Nazrin

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat kali kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pihaknya yakin akan menerima laporan itu dalam masa terdekat.

“Tiada perkembangan baharu (berkaitan kes kematian Allahyarham Nazrin), kita masih tunggu laporan perubatan. Nanti kita akan terima laporan penuh bedah siasat kali kedua Allahyarham...dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Minggu lalu, NSTP melaporkan laporan penuh bedah siasat kali kedua CEO Cradle Fund mengambil masa lama berikutan ia bergantung kepada doktor yang melakukan laporan berkenaan.

Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu. Allahyarham dikatakan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk menahan reman isteri dan menahan dua anak tirinya.

Pada 8 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya.

Jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X