Isnin, 17 Disember 2018 | 3:41pm

Pasangan kekasih didakwa bunuh warga Bangladesh

PETALING JAYA : Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga asing di Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway, di sini, awal bulan ini.

Ahmad Najmi Naim Ahmad Jeffrey dan Intan Farah Nur Ain Muhamad Zawawi, masing-masing berusia 21 tahun hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama-sama di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang tinggal di pangsapuri itu, bersama-sama dengan tiga lagi yang masih bebas dalam mencapai niat bersama, didakwa telah membunuh seorang lelaki warga Bangladesh bernama Jamal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway, antara 6 dan 7 pagi, 3 Disember lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 25 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada warga asing itu yang didakwa cuba mencabul salah seorang penduduk di pangsapuri itu.

Berita Harian X