Sabtu, 15 Disember 2018 | 5:12pm
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

4 lelaki direman kes kematian mak nyah

SHAH ALAM: Empat lelaki berumur antara 16 hingga 21 tahun direman bagi membantu siasatan kes kematian seorang mak nyah, kelmarin, dipercayai dipukul dengan senjata tumpul di Bukit Tinggi, Klang.

Dua remaja berusia 16 dan 17 tahun direman lima hari bermula hari ini, manakala dua lagi suspek berumur 19 serta 21 tahun pula direman enam hari bermula semalam hingga 19 Disember ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata polis menahan seorang suspek terbabit pada jam 10 malam kelmarin, disusuli tiga lagi diberkas kira-kira jam 3 pagi dan 6.30 petang semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mak nyah itu dipercayai dipukul kerana disyaki mencuri telefon bimbit salah seorang suspek ketika melanggan mangsa pada November lalu.

“Kes ini tiada kaitan dengan kebencian terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Justeru, kami berharap masyarakat jelas mengenainya dan tidak mengaitkan kes ini dengan LGBT,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan dipercayai dibelasah dengan senjata tumpul, di hadapan sebuah hotel di Bukit Tinggi, kira-kira jam 7 pagi Rabu lalu.

Mangsa berusia 32 tahun berasal dari Sabah, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 10.47 pagi kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Hasil bedah siasat mendapati ada 32 kecederaan pada seluruh badan mangsa yang juga mengalami pendarahan teruk, termasuk di bahagian otak, selain retak tengkorak.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X