Jumaat, 14 Disember 2018 | 11:15am
ZAHID keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadiri sebutan semula kes yang didakwa menerima upah dan rasuah berjumlah RM21.25 juta berhubung pemberian projek kerajaan kepada beberapa syarikat ketika menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN). - NSTP/Saddam Yusoff

Zahid mengaku tidak bersalah pecah amanah

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan tambahan iaitu melakukan pecah amanah jenayah membabitkan wang RM10 juta milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mohon dibicarakan selepas pertuduhan tambahan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Berikutan itu, Zahid, 65, kini berdepan dengan keseluruhan 46 pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan, Zahid sebagai ejen iaitu Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi dan dalam kapasiti itu telah di amanahkan dengan harta iaitu wang RM10 juta milik yayasan berkenaan telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta itu di mana beliau telah dengan curangnya memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Jalan Bunus, No 133, Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini pada 8 Disember 2015.

ZAHID Hamidi. - NSTP/Saddam Yusoff

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran tidak bercadang untuk menambah jumlah jaminan terhadap tertuduh dan berikutan itu mahkamah mengekalkan jaminan RM2 juta ke atasnya.

Dalam prosiding yang sama, pihak pendakwaan telah meminda 10 pertuduhan berkaitan pecah amanah jenayah terhadap Zahid dengan memperincikan butiran pertuduhan itu.

Mahkamah menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X