Khamis, 13 Disember 2018 | 2:50pm
GAMBAR fail, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat. - Foto Shahiman Sharip
GAMBAR fail, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat. - Foto Shahiman Sharip

Tempoh bedah siasat CEO Cradle Fund bergantung kepada doktor

KUALA LUMPUR: Laporan penuh bedah siasat kali kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan, yang mengambil masa lama adalah bergantung kepada doktor yang melakukan laporan berkenaan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata setakat ini pihaknya masih menunggu laporan terbabit daripada pasukan perubatan berkenaan.

“Tempoh laporan penuh itu bergantung kepada doktor (Pasukan Perubatan) sebelum ia diserahkan kepada polis.

“Kita tidak tahu bila laporan berkenaan siap tapi saya menjangkakan ia akan siap pada bila-bila masa dari sekarang,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu, Allahyarham dikatakan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk menahan reman isteri dan menahan dua anak tirinya.

Pada 8 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya.

Jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di PPUM sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu.

Berita Harian X