Selasa, 11 Disember 2018 | 5:29pm

Kes 6 maut kebakaran: Letupan macam pertunjukan bunga api

IPOH: “Mak tolong!” Itulah jeritan yang didengari saksi kejadian letupan dan kebakaran sebuah premis yang menjalankan perniagaan pengaturcara majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, di sini hari ini.

Tragedi kira-kira jam 2 petang itu dipercayai mengakibatkan enam maut membabitkan lima pekerja dan seorang majikan.

Seorang saksi, P Appu, 48, yang juga abang kepada pemilik premis yang terbakar itu berkata, ketika kejadian adiknya Thiagarajan, 40, bersama isteri serta lima pekerja berada dalam premis yang turut menjalankan perniagaan pusat sehenti penganjuran majlis termasuk bahan letupan berlesen, bunga api, dan kesan khas.

“Saya pula berada di kaki lima premis ketika itu apabila tiba-tiba mendengar letupan kuat disusuli percikan bunga api dan kebakaran di tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

“Saya cuba membantu dengan memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

“Takut, terkejut dan sedih apabila mendengar jeritan mangsa meminta tolong tetapi saya tidak dapat membantu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

ENAM orang maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Jelapang 3, Puncak Jelapang Maju, Jelapang. - NSTP/Muhaizan Yahya
ENAM orang maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Jelapang 3, Puncak Jelapang Maju, Jelapang. - NSTP/Muhaizan Yahya

Menurutnya, beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman perumahan berhampiran pada sebelah malam manakala siang hari akan tinggal di premis perniagaan adiknya itu.

“Masa kejadian, adik saya dan lima pekerja Melayu berusia lingkungan 20-an berada di tingkat atas, manakala adik ipar saya pula berada di ruangan pejabat di tingkat bawah dan terselamat.

“Saya sudah tinggal di sini sejak adik menjalankan perniagaannya lebih 10 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk taman perumahan berhampiran yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 50-an, berkata berlaku letupan kuat dan gegaran ketika kejadian berlaku.

“Ketika itu saya berada di rumah yang terletak kira-kira 150 meter dari premis rumah kedai berkenaan dan sebaik letupan berlaku saya keluar rumah untuk memeriksa.

“Kelihatan kepulan asap seperti cendawan di rumah kedai itu berserta dengan percikan dan letupan seperti pertunjukan bunga api yang serpihannya berterbangan hingga ke kawasan perumahan kami,” katanya.

ANGGOTA bomba di lokasi kebakaran sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Jelapang 3, Puncak Jelapang Maju, Jelapang. - NSTP/Muhaizan Yahya
ANGGOTA bomba di lokasi kebakaran sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Jelapang 3, Puncak Jelapang Maju, Jelapang. - NSTP/Muhaizan Yahya
Berita Harian X