Sabtu, 8 Disember 2018 | 1:48pm
Jasad mendiang Chin Hsien Loong, 29, dibawa keluar dari rumahnya bagi upacara pembakaran di Tanah Perkuburan Cina Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Mayat mendiang mangsa letupan gas sempurna dibakar

BUKIT MERTAJAM: Mayat mendiang Chin Hsien Loong, yang terkorban dalam tragedi letupan gas di pusat beli belah Cityone Megamall, Kuching, Sarawak, sempurna dibakar di Krematorium Berapit, 12.45 tengah hari tadi.

Terdahulu, hampir 200 ahli keluarga dan rakan melakukan upacara sembahyang di rumah mendiang di Taman Kimsar, Butterworth.

Mayat tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada Khamis lalu.

Rakan mendiang Chin Hsien Loong, 29, mangsa letupan gas di pusat beli belah CityOne Megamall memberi penghormatan terakhir di rumah keluarganya di Taman Kimsar, Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Mayat mendiang Chin Hsien Loong, 29, mangsa letupan gas di pusat beli belah CityOne Megamall di Kucing ketika tiba di rumah keluarganya di Taman Kimsar, Butterworth malam semalam. - Foto BERNAMA

Dalam kejadian jam 3.30 petang Selasa lalu, Hsien Loong, 29 dan dua lagi mangsa Tchee Kiam Jong 24, dan O Kui Lim, 49, maut dalam letupan gas di CityONE Megamall, Kuching Sarawak.

Kesemua mangsa terkorban dipercayai dihempap runtuhan susulan letupan gas di pusat beli belah yang menjadi tumpuan warga bandaraya terutama pada hujung minggu itu.

Difahamkan, mendiang Hsien Loong yang juga rakan kongsi perniagaan kepada premis terbabit, berada di Sarawak bagi meninjau kerja pengubahsuaian di restoran makanan Korea yang sepatutnya dibuka secara rasmi hari ini.

Berita Harian X