Khamis, 6 Disember 2018 | 9:12pm
KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof. - NSTP/Azhar Ramli
KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof. - NSTP/Azhar Ramli

Lelaki disyaki dera anak sampai mati ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun hari ini, selepas disyaki mendera anaknya berusia 10 tahun sampai mati.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof, berkata suspek ditahan di Balai Polis Semenyih, Kajang, kira-kira jam 9.30 pagi untuk membantu siasatan.

“Semalam, pada jam 10.30 malam, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan daripada seorang doktor Jabatan Kecemasan Hospital Serdang selepas menerima seorang kanak-kanak lelaki yang dibawa oleh keluarganya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan lanjut oleh doktor kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia, terdapat kecederaan fizikal iaitu kesan luka di kepala, badan serta kaki dan tangan, selain terdapat kesan lebam di seluruh badan si mati.

“Bedah siasat kemudian mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan tumpul yang berganda pada keseluruhan badan, mayat mangsa dicam oleh ibu dan adiknya di Hospital Serdang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, si mati adalah anak kedua dari tiga orang adik beradik dan ketiga-tiga mereka di bawah jagaan suspek selepas isteri suspek keluar daripada rumah sejak dua bulan lalu.

“Permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kajang, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Azlinda Abtu di nombor 012-6853281,” katanya.

Berita Harian X