Rabu, 5 Disember 2018 | 7:46pm
ANGGOTA bomba hari ini menyiasat punca letupan di pusat membeli-belah CityONE Megamall. - Foto BERNAMA
ANGGOTA bomba hari ini menyiasat punca letupan di pusat membeli-belah CityONE Megamall. - Foto BERNAMA

Struktur CityONE Megamall tidak terjejas

KUCHING: Insiden letupan gas yang meragut tiga nyawa dan mencederakan 41 mangsa semalam tidak menjejaskan struktur pusat beli-belah CityONE Megamall, di sini.

Ia disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman susulan pemeriksaan unit forensik tidak menemui sebarang kesan retakan teruk di bangunan itu.

Justeru, beliau berharap hasil siasatan pihaknya itu dapat meredakan kegusaran orang ramai berhubung tahap keselamatan bangunan berkenaan.

“Selepas meneliti hasil siasatan, pihak kami mendapati tiada retakan berlaku di bangunan CityONE Megamall seperti yang diviralkan di media sosial.

“Saya berharap penjelasan ini dapat menamatkan kegusaran orang ramai berhubung keadaan bangunan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Khirudin berkata, pihaknya juga sudah mengambil sampel gas di lokasi untuk dinilai dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Putrajaya yang akan tiba hari ini untuk menelitinya.

Ditanya kemungkinan wujud pelanggaran prosedur poperasi standard (SOP) dalam kerja pengubahsuaian restoran berkenaan, Khirudin berkata, siasatan mendapati ia tidak berlaku.

“Kejadian itu berlaku akibat kemalangan, tiada berlaku kecuaian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam insiden berkenaan.

“Maklumat risikan yang kita kumpul setakat ini juga tidak mengesan sebarang elemen militan,” katanya.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Sarawak, Dr Nor Halim Hasan pula berkata, pegawainya akan menjalankan siasatan lanjut mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967 untuk memastikan undang-undang berkenaan dipatuhi.

Berita Harian X