X
Rabu, 5 Disember 2018 | 10:34am
KEADAAN sekitar pusat beli-belah CityONE Megamall, semalam.
KEADAAN sekitar pusat beli-belah CityONE Megamall, semalam.

Timbalan Ketua Menteri mahu laporan segera disiapkan

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak diminta menyiapkan segera laporan terperinci berhubung insiden letupan gas di sebuah restoran di pusat beli-belah CityONE Megamall, di sini petang semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata ia bagi mengenalpasti punca sebenar insiden berkenaan yang sehingga kini meragut tiga nyawa, selain mencederakan 44 pengunjung pusat beli-belah berkenaan.

Beliau menegaskan sebarang penemuan dalam proses siasatan itu dapat membantu pihak berkuasa meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP), termasuk garis panduan berkaitan.

“Hasil siasatan awal menunjukkan kejadian berpunca dari letupan gas, namun kita mahu tahu apa punca sebenarnya... bagaimana letupan boleh berlaku, termasuk segala elemen berkaitan.

“Ini boleh membantu pihak berkuasa yang terbabit dalam kes sebegini melakukan proses penambaikan dan persediaan berkaitan bagi memastikan tragedi seumpamanya tidak berulang pada masa depan kerana ia turut membabitkan keselamatan orang ramai,” katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata demikian ketika ditemui NSTP selepas meninjau lokasi kejadian, di sini.

Beliau turut diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dalam kejadian jam 3.30 petang semalam, berlaku letupan dari sebuah restoran makanan segera Korea di CityONE Megamall, di sini dipercayai berpunca dari kebocoran saluran gas di bahagian dapur premis berkenaan.

Impak letupan menyebabkan bahagian siling dan dinding restoran berkenaan serta premis perniagaan berhampiran runtuh lalu menghempap dua pekerja kontraktor dan seorang pekerja restoran.

Tiga mangsa yang maut dikenalpasti sebagai O Kui Lim, 49 dan Tchee Kiam Jong, 24, masing-masing berasal dari Kuching, manakala Chin Hsien Loong, 29, berasal dari Butterworth, Pulau Pinang.

Uggah berkata, kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, khususnya dari segi aspek keselamatan bangunan pejabat, premis komersial dan pusat beli belah bagi mengelak insiden sama berulang.

“Secara asasnya, tragedi ini adalah satu kemalangan dan bukannya berpunca dari sebarang elemen lain, termasuk perbuatan khianat. Ini seharusnya dijadikan iktibar bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang.

“Kita turut berterima kasih di atas tindakan pantas pasukan penyelamat, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak mengawal keadaan di pusat beli belah berkenaan bagi mengelak berlakunya insiden lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii ketika dihubungi pasukan forensik jabatan itu memasuki semula lokasi kejadian pagi ini bagi menjalankan siasatan terperinci insiden berkenaan.

Katanya, jabatan itu turut menempatkan anggota di pusat beli belah berkenaan bagi memeriksa kawasan persekitaran, termasuk mengesan sekiranya berlaku kebocoran lain.

Difahamkan, pusat beli-belah itu dihentikan sementara operasinya sehingga keadaan diisytiharkan selamat.

Berita Harian X