Rabu, 28 November 2018 | 11:46am
Seorang peniaga sayur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi suapan RM10,000 kepada pegawai kerajaan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana kebunnya yang mencerobohi hutan simpan di Cameron Highlands pada 2015 di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. - Foto Farizul Hafiz Awang sent
Seorang peniaga sayur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi suapan RM10,000 kepada pegawai kerajaan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana kebunnya yang mencerobohi hutan simpan di Cameron Highlands pada 2015 di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. - Foto Farizul Hafiz Awang sent

Peniaga sayur mengaku tidak bersalah rasuah RM10,000

KUANTAN: Seorang peniaga sayur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai kerajaan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kebunnya selepas menceroboh hutan simpan di Cameron Highlands pada 2015.

Teong Tong Lai, 33, dari Taman Desa Corina, Cameron Highlands, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Tertuduh didakwa memberi rasuah wang tunai berjumlah RM10,000 kepada Penolong Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Sanifah Yusof sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap tanah kebunnya di Hutan Simpan Terla (A), Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands, yang melakukan kesalahan mengikut Akta Perhutanan 1984.

Tertuduh didakwa memberi suapan itu di Coffee House Hotel Heritage, Cameron Highlands, pada jam 9.30 malam 13 Mei 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda berjumlah tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili Mohamad Hamizey Mat Taib dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Siti Sarah mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala Mohd Hamizi meminta mahkamah menetapkan ikat jamin minimum kerana tertuduh memberi kerjasama dalam siasatan dan menanggung keluarga.

Mohd Ghazali menetapkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan 19 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X