Selasa, 27 November 2018 | 9:39pm
BAHARUDIN Abdullah - Foto ROSLI ILHAM
BAHARUDIN Abdullah - Foto ROSLI ILHAM

Serah diri selepas 22 hari bersembunyi

DUNGUN: Selepas 22 hari menyembunyikan diri apabila gambarnya dirakam ketika memecah masuk sebuah rumah di Kampung Padang Jambu, suspek akhirnya menyerah diri kepada polis, malam kelmarin.

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun sebelum dibawa ke mahkamah Majistret Dungun untuk mendapat perintah tahanan reman, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata polis mendapat kebenaran menahan reman suspek selama empat hari dan suspek dijangka dituduh di mahkamah sama pada 29 November ini.

Katanya, dalam kejadian 6 November lalu, seorang wanita berusia 26 tahun yang pulang dari pasar terserempak dengan suspek yang tersangkut di atas cermin tingkap atas pintu bahagian dapur rumahnya, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Ketika kejadian, mangsa yang ketakutan menghubungi abangnya kerana bimbang suspek memiliki senjata tajam.

“Mangsa sempat merakam beberapa keping gambar suspek yang tersangkut itu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun,” katanya.

Baharudin berkata, polis yang menerima laporan melancarkan gerakan mengesan suspek sehingga suspek menyerah diri.

“Kami masih menyiasat sama ada suspek turut terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar kampung terbabit,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Harian Metro pada 8 November lalu melaporkan suspek yang juga jiran mangsa dengan hanya berseluar dalam menceroboh masuk ke rumah mangsa sebelum mangsa merakam gambar suspek dan melaporkan kejadian itu kepada polis.

Berita Harian X