Jumaat, 23 November 2018 | 3:33pm
RASHIDILHADI Md Deris @ Abd Rashid (tiga dari kanan) memeriksa ikan dan sotong yang dirampas dari bot nelayan asing warga Vietnam semasa Ops Damai dan Ops Iman selepas sidang media di Ibu pejabat Maritim DM9, Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori
RASHIDILHADI Md Deris @ Abd Rashid (tiga dari kanan) memeriksa ikan dan sotong yang dirampas dari bot nelayan asing warga Vietnam semasa Ops Damai dan Ops Iman selepas sidang media di Ibu pejabat Maritim DM9, Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori

200 kilogram sotong kering dirampas

KUALA TERENGGANU: Sotong kering seberat 200 kilogram (kg) antara yang dirampas susulan penahanan sebuah bot nelayan Vietnam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu membabitkan keseluruhan rampasan bernilai RM1.1 juta, semalam.

Bot terbabit ditahan selepas dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan secara tidak sah di lokasi pada jarak 44 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Md Deris@Abd Rashid, berkata semua nelayan terbabit sedang leka menangkap ikan sebelum bot mereka ditahan kapal peronda Maritim Malaysia jam 3.43 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai sebarang lesen untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini.

“Kita juga menahan seramai 11 awak-awak termasuk seorang tekong warga Vietnam berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM, Pulau Kambing, di sini, hari ini.

Katanya, keseluruhan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1.1 juta membabitkan tangkapan hasil laut seberat 3.2 tan, sotong kering 200 kilogram serta 3,000 liter minyak diesel dan pelbagai peralatan menangkap ikan.

Rashidilhadi berkata, bot terbabit dibawa ke jeti Maritim Malaysia Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran dan lesen sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

Beliau berkata, APMM akan mempertingkatkan operasi rondaan di kawasan pulau bagi menangani ancaman kemasukan bot nelayan asing ketika musim tengkujuh.

Katanya, nelayan asing mengambil kesempatan untuk menceroboh perairan negara terutama pada musim tengkujuh kerana beranggapan tidak ada penguatkuasaan oleh pihak berkuasa Maritim Malaysia berikutan keadaan laut yang bergelora.

Bagaimanapun katanya, sangkaan nelayan terbabit sama sekali meleset kerana pihaknya sentiasa melakukan rondaan bagi mencegah pencerobohan dan kegiatan jenayah di laut tanpa mengira musim.

“Kita akan memantau kawasan pulau di Terengganu terutama Pulau Redang dan Tenggol, selain bekerjasama dengan pekerja di pelantar minyak serta nelayan tempatan untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti pencerobohan bot nelayan asing,” katanya.

Berita Harian X