Jumaat, 23 November 2018 | 3:27pm
WONG Mun Fai, Tan Chun How dan Ng Yoke Soon dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit. - NSTP/L Manimaran
WONG Mun Fai, Tan Chun How dan Ng Yoke Soon dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit. - NSTP/L Manimaran

Tiga rakan didakwa membunuh

TELUK INTAN: Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini, 15 November lalu.

Wong Mun Fai dan Tan Chun How masing-masing berusia 27 tahun serta Ng Yoke Soon, 44, dituduh secara bersama membunuh Heng Wei Fong, 21, berhampiran tiang elektrik di ladang kelapa sawit dekat Jalan Kampung Banjar di sini, antara jam 12.05 tengah malam hingga 12.30 tengah malam pada hari berkenaan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail.

Tertuduh pertama dan kedua masing-masing diwakili peguam Datuk Naran Singh dan V Santhiran.

Bagaimanapun, tertuduh ketiga tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan laporan lengkap bedah siasat, laporan kimia dan cabutan sijil kematian mangsa diperoleh.

NSTP pada 15 November lalu melaporkan penemuan mayat dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh di dalam kereta yang terbakar di Kampung Banjar menghala Selabak di Teluk Intan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, dilaporkan berkata polis menerima maklumat berhubung penemuan itu pada jam 8.45 pagi dan siasatan mendapati mayat berkenaan berada di tempat duduk penumpang hadapan di sebelah kiri dalam keadaan hangus terbakar keseluruhan.

Berikutan itu polis menahan lima suspek termasuk dua wanita berusia 24 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan dan siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai masalah peribadi membabitkan teman wanita.

Berita Harian X