Jumaat, 16 November 2018 | 6:28pm

Bapa jahanam cekik anak sebab tak dapat duit

KENINGAU: Seorang bapa sanggup mencekik dan membelasah anak lelaki kandung berusia empat tahun selepas marah hanya kerana tidak diberikan wang oleh isterinya, dalam kejadian di Kampung Feri, Jalan Menawo, di sini, Rabu lalu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit dikatakan turut cuba ‘melempar’ anaknya ke tengah jalan besar yang ketika itu dilalui banyak kenderaan namun berjaya dihalang abang iparnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun terbabit dikatakan pergi menemui isterinya yang kini menumpang di rumah abang berikutan pasangan berkenaan sedang dalam proses perceraian.

Bagaimanapun, sebaik permintaannya ditolak, lelaki terbabit terus mengamuk dan bertindak agresif menarik anak lelakinya sebelum diheret ke jalan besar kira-kira 50 meter dari rumah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim berkata, suspek berjaya ditahan oleh orang awam yang melihat kejadian berkenaan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Katanya, akibat kejadian berkenaan, mangsa mengalami kecederaan di leher dan dirujuk ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama ibu dan adik lelakinya yang berusia 18 bulan tinggal bersama pakciknya di tempat kejadian.

“Siasatan juga mendapati suspek tidak bekerja dan segala perbelanjaan keluarga itu sebelum ini ditanggung oleh isterinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, hari ini.

Nyuk Kim berkata, suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan selepas didapati menggunakan kad pengenalan palsu ketika operasi sekatan jalan di Jalan Apin-Apin, malam semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu mengaku kad pengenalan berkenaan palsu dan dibeli daripada seorang lelaki yang hanya dikenali dengan panggilan Paul dengan harga RM3,000.

Suspek cuba menyogok RM500 kepada anggota polis sebelum ditahan mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X