Khamis, 15 November 2018 | 6:20pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan. - Foto Rosela Ismail
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan. - Foto Rosela Ismail

Nazrin terima ugutan bunuh 3 bulan sebelum maut

SUNGAI BULOH: Polis sudah menyiasat dakwaan ugutan bunuh yang diterima oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, tiga bulan sebelum dia dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, mengesahkan bahawa laporan berhubung ugutan bunuh itu sudah dibuat dan hasil siasatan yang dijalankan mendapati ancaman dalam bentuk panggilan telefon itu dilakukan oleh saudara terdekatnya.

“Kita sudah menjalankan siasatan berhubung perkara itu (ancaman) namun ia tidak termasuk dalam siasatan kes bunuh yang dijalankan pada masa ini.

“Dia (Allahyarham Nazrin) juga sudah menarik balik laporan polis berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, hari ini.

Mengulas mengenai laporan bedah siasat kedua ke atas Nazrin, Mazlan memberitahu bahawa pihaknya masih menunggu hasil laporan berkenaan yang sedang disiapkan oleh pegawai perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas proses bedah siasat kedua dibuat pada 8 Oktober lalu.

“Laporan berkenaan berkemungkinan mengambil masa yang agak panjang untuk disiapkan dan kita (polis) tidak mahu mendesak atau mengganggu pasukan perubatan melengkapkan laporan mereka.

“Biarlah mereka (PPUM) perhalusi laporan itu dan dibuat dengan sempurna sehingga kita dapat pastikan laporan berkenaan adalah satu laporan dan kajian yang mantap,” katanya

Beliau berkata, Polis Selangor tidak akan mendesak pasukan perubatan untuk segera mengeluarkan laporan bedah siasat berkenaan kerana dikhuatiri akan mengganggu keputusan laporan berkenaan.

Pada 8 Oktober lalu, jenazah Allahyarham Nazrin digali dan dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan untuk bedah siasat kali kedua di PPUM.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Berita Harian X