Khamis, 15 November 2018 | 6:12pm

Anak tetak bapa

KAMPUNG GAJAH: Seorang lelaki sanggup menetak bapanya dengan parang hanya kerana dilarang menggunakan motosikal dalam kejadian di Kampung Tersusun Bukit Chawi, di sini, Sabtu lalu.

Susulan kejadian jam 2 petang itu, Bahari Itam, 90, terpaksa menerima 12 jahitan di kepala, lengan dan tapak tangan akibat diserang anak kandung berusia 38 tahun itu yang juga penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata mangsa ditetak di luar rumah oleh suspek susulan pertengkaran yang tercetus.

“Suspek kemudian berlari ke dalam biliknya dan mengambil sebilah parang sebelum terus menetak kepala, lengan kanan dan tapak tangan kiri bapanya sehingga berlumuran darah.

“Suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal manakala pengadu dibawa ke Klinik Kesihatan Ulu Dedap Seberang Perak untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pengadu menerima tujuh jahitan di kepala dan lima jahitan di tapak tangan.

Katanya, tiada saksi yang melihat kejadian itu dan suspek yang melarikan diri di kawasan kampung berkenaan sudah ditahan pada hari berikutnya.

“Suspek yang juga penagih tegar dan didapati positif methaphatemine itu adalah anak ke-12 daripada 13 beradik dan sudah terbabit dengan bahan terlarang itu sejak berusia 20 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek yang tidak bekerja akan dituduh di Mahkamah Batu Gajah esok,” katanya.

Berita Harian X