Khamis, 15 November 2018 | 5:51pm
MAYAT dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh ditemui di dalam kereta di Jalan Kampung Banjar. - Foto ihsan pembaca
MAYAT dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh ditemui di dalam kereta di Jalan Kampung Banjar. - Foto ihsan pembaca

Mayat rentung dalam kereta

Gambar Ihsan Pembaca, Video ihsan TV3

MANJUNG: Mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung, dipercayai mangsa bunuh, ditemui di dalam kereta yang terbakar di ladang kelapa sawit di Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan, pagi ini.

Mayat mangsa dipercayai berketurunan Cina yang indentitinya belum dikenal pasti itu ditemui seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu pada jam 8.45 pagi.

Katanya, siasatan mendapati mayat berkenaan berada di tempat duduk penumpang hadapan di sebelah kiri dalam keadaan hangus.

“Polis percaya mangsa dibawa dari tempat lain dan dibakar di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Balai Polis Segari di Segari, dekat sini, hari ini.

Yahya berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, saksi kejadian, Goh Tuan Hock, berkata dia orang pertama yang menemui mayat itu dan memaklumkan kepada polis.

“Saya lihat ada mayat di dalam kereta itu dengan keadaan hangus terbakar sehingga menampakkan tulang dan urat.

“Kawasan ini sunyi dan pernah berlaku kejadian bunuh diri di sini sebelum ini,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Berita Harian X