Selasa, 13 November 2018 | 12:46pm

'Boy Tiger' dan isteri direman tujuh hari

KUALA LUMPUR: Suspek disyaki terbabit dera anak tiri sampai mati, Khairul Izaini Khairuddin, 31, atau dikenali sebagai ‘Boy Tiger’, direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 November depan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Haslinda A. Raof sebaik suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang, jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, turut direman bagi tempoh sama adalah ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki itu, Noraini Samian, 20, yang ditahan di Hospital Kajang, semalam selepas empat hari diburu polis.

Bagaimanapun, perintah reman terhadap Noraini dibacakan di Hospital Kajang berikutan wanita itu masih mendapatkan rawatan kerana melahirkan anak di sebuah inap desa di Hulu Langat, pagi semalam.

“Kedua-duanya direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Terlebih dulu, suspek ‘Boy Tiger’ yang memakai kemeja-T berwarna gelap kelihatan bersahaja sebaik dibawa memasuki Mahkamah Majistret Ampang jam 11 pagi tadi.

Khamis lalu, suami isteri berkenaan melarikan diri apabila pegawai perubatan Hospital Ampang mengesahkan kanak-kanak berusia tiga tahun, Muhammad Khairil Akmal Abdul Rahman, meninggal dunia 30 minit selepas menerima rawatan akibat didera.

Namun, kedua-duanya ditahan di Hospital Kajang jam 11 pagi semalam.

Jumaat lalu, NSTP melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Muhammad Khairil Akmal Abdul Rahman, maut dipercayai akibat didera.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas 30 minit dihantar ke Hospital Ampang oleh bapa tiri serta ibu kandungnya.

Susulan itu, bapa tiri serta ibu kanak-kanak berkenaan kemudian melarikan diri dan diburu polis.

BOY Tiger direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 November depan. - Foto Aizuddin Saad
BOY Tiger direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 November depan. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X