X
Jumaat, 9 November 2018 | 9:41pm

Kes CEO Cradle Fund: Polis masih tunggu laporan bedah siasat kedua

SHAH ALAM: Polis masih menunggu laporan bedah siasat kali kedua membabitkan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya belum menerima laporan berkenaan bagi menentukan bentuk siasatan selanjutnya terhadap kes terbabit.

“Laporan oleh pakar patologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) masih belum diterima.

“Saya difahamkan pelbagai analisa perlu dilakukan sebelum laporan itu boleh diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui media selepas program Media Talk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata sekiranya memerlukan, pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan.

Pada 8 Oktober lalu, jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di PPUM.

Jenazah kemudiannya dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X