Jumaat, 9 November 2018 | 5:24pm
PINTU rumah kedai yang dipercayai lokasi kejadian seorang kanak-kanak berusia 3 tahun meninggal dunia selepas didera bapa tirinya di Bukit Indah, Ampang. - Foto Asyraf Hamzah
PINTU rumah kedai yang dipercayai lokasi kejadian seorang kanak-kanak berusia 3 tahun meninggal dunia selepas didera bapa tirinya di Bukit Indah, Ampang. - Foto Asyraf Hamzah

'Abang ada masalah mental'

AMPANG: Suspek yang juga bapa tiri kepada kanak-kanak yang maut dipercayai akibat didera, difahamkan mempunyai masalah mental dan pernah ditahan polis sebelum ini, namun dilepaskan semula.

Adik kepada lelaki berkenaan, Khairul Mustaffa Khairuddin, 30, berkata abangnya pernah menumpang di rumah ibunya di Ampang Saujana bulan lalu sebelum pulang ke rumahnya di Bukit Indah, dekat sini, beberapa hari lalu.

“Sepanjang berada di rumah ibu, saya tidak pernah nampak dia ‘naik tangan’ kepada isteri mahupun anaknya. Namun, saya perasan muka anak saudara (mangsa) ada kesan lebam.

“Kami sekeluarga tidak tahu jika dia memang mendera anak lelaki itu. Tapi apa yang saya tahu, dia tidak pernah menyentuh dua lagi anaknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khairul Mustaffa berkata, dia pernah menghubungi polis kerana abangnya kelihatan seperti orang tidak betul sejak akhir-akhir ini dan sering bergaduh dengan ibunya, sebelum polis datang ke rumah dan menahannya.

“Sebelum ini dia okay. Sejak akhir-akhir ini dia seolah-olah berkelakuan pelik. Selepas dibebaskan polis, dia pulang semula ke rumahnya di Bukit Indah beberapa hari lalu.

“Kami sekeluarga terkejut apabila mendapat tahu perkara ini. Malah dia melarikan diri bersama isterinya dengan membawa seorang anak yang berusia setahun.

“Saya bimbang jika berlaku apa-apa kepada isteri dan anak saudara yang dibawanya. Saya minta dia supaya pulang dan menyerah diri kepada polis.

“Jika benar dia mengalami masalah mental, biarlah pihak hospital merawatnya,” katanya yang tidak tahu ke mana abangnya menghilangkan diri.

Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berkenaan maut ketika dirawat di Hospital Ampang, tengah hari semalam, dipercayai akibat didera. Ibu kandung dan bapa tiri mangsa melarikan diri sejurus menghantarnya ke hospital itu.

Sehubungan itu, polis meminta ibu kandung mangsa iaitu Noraini Samian, 20, dan bapa tirinya, Khairul Izaini Khairuddin, 31, untuk tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Berita Harian X