Jumaat, 9 November 2018 | 12:57pm

Curi kereta 3 minit

BATU PAHAT: Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kereta mewah, Geng Yon Kuang, yang melarikan lebih lima kereta pelbagai jenama bernilai lebih RM800,000 dalam tempoh kurang tiga minit, di beberapa kawasan di sini, sejak bulan lalu.

Tindakan licik sindiket yang menggunakan peralatan canggih berteknologi tinggi bagi melarikan kereta mewah termasuk yang berada dalam pekarangan rumah dengan pintu pagar automatik itu, tumpas apabila semua tujuh ahli sindiket termasuk dua wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan termasuk semalam.

Dalam rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa, menunjukkan anggota sindiket berkenaan hanya mengambil masa kurang tiga minit melarikan kereta mewah termasuk berjaya melumpuhkan sistem pagar automatik di rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata semua tujuh suspek termasuk dua wanita yang dipercayai anggota sindiket berkenaan berjaya ditahan polis mulai bulan lalu dan yang terakhir semalam.

Katanya, semua suspek yang berusia antara 24 hingga 38 tahun itu kini direman bagi siasatan lanjut.

“Kita percaya sindiket ini aktif mencuri kereta mewah termasuk di daerah ini, Johor Bahru dan Petaling Jaya sejak awal tahun lalu.

“Sindiket ini menyasarkan kereta mewah yang menggunakan sistem butang push start malah polis berjaya merampas peranti godam, immobilizer kod automatik kereta mewah, peralatan penebuk, alat cetak nombor pendaftaran kereta, alat pembuat cukai jalan selain dua mesin pencetak.

“Polis juga berjaya merampas kembali lima kenderaan mewah termasuk Toyata Vellfire, Toyota Fortuna, Honda CR-V, Honda HR-V dan Honda Accord yang kesemuanya bernilai RM800,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjual kereta yang dicuri dengan harga hanya 10 peratus dari harga sebenar kenderaan berkenaan bagi memudahkan urusan sekali gus menyasar kereta mewah yang lain selepas ia berjaya dijual, ” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini, hari ini.

Azhan berkata, semua suspek yang direman disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta yang membawa hukuman penjara tujuh tahun maksimum dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan mendapati sebahagian suspek mempunyai rekod lampau mencuri kenderaan mewah dengan ada kes yang sedang dibicarakan.

AZHAN (dua dari kanan) menunjukkan kereta mewah yang berjaya dirampas pada sidang sidang media di IPD Batu Pahat. - NSTP/Mohamed Farid Noh
AZHAN (dua dari kanan) menunjukkan kereta mewah yang berjaya dirampas pada sidang sidang media di IPD Batu Pahat. - NSTP/Mohamed Farid Noh
Berita Harian X