Selasa, 23 Oktober 2018 | 4:21pm
KEADAAN di lokasi kemalangan langgar lari yang mengakibatkan seorang wanita maut dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat dekat Bukit Minyak, di sini, Ahad lalu. - Foto ihsan PDRM

Polis cari suspek kes langgar lari tiga beranak

BUKIT MERTAJAM: Polis mohon kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berhubung kemalangan langgar lari yang mengakibatkan seorang wanita maut dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat dekat Bukit Minyak di sini, Ahad lalu.

Dalam kemalangan jam 6.30 petang itu, mangsa, M Tanaletchumi, 49, yang membawa anaknya berusia 12 tahun membonceng motosikal ditunggang suaminya, V Ganesan, 52, tiba-tiba dilanggar sebuah kenderaan tidak dikenali.

Akibatnya, motosikal yang dinaiki tiga beranak itu hilang kawalan, menyebabkan mereka terjatuh di atas jalan.

Menurut sumber, pada ketika itu tiga beranak berkenaan yang dalam perjalanan dari Bukit Tambun ke Bukit Minyak, baharu bergerak sebaik lampu isyarat bertukar ke warna hijau sebelum dilanggar dan bergesel dengan sebuah kenderaan dari arah belakang.

“Tiga beranak berkenaan dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan lanjut, bagaimanapun Tanaletchumi dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala manakala suaminya patah kaki kanan dan anaknya pula mengalami luka di tangan serta kaki,” katanya.

Siasatan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan terbabit.

Berikutan itu, orang awam yang menyaksikan kemalangan terbabit diminta hadir di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Inspektor Noor Amirah Nor Azmi di talian 04-5301977 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X