Isnin, 22 Oktober 2018 | 5:27pm
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh. - NSTP/Eizairi Shamsudin
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Bukit Aman 39,743 keldai akaun

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan memulakan operasi besar-besaran bagi memburu 39,743 keldai akaun yang membenarkan akaun bank mereka digunakan pihak tertentu bagi tujuan penipuan.

Pengarahnya, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, jumlah akaun itu diperoleh menerusi siasatan yang dijalankan sejak 2015 dan membabitkan penipuan wang lebih RM800 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 4,729 akaun terbabit dalam penipuan kerana menawarkan pinjaman tidak wujud, Macau Scam dan African Scam.

“Ramai pemegang akaun itu adalah wanita dan JSJK akan menjalankan operasi besar-besaran dalam masa terdekat bagi menahan mereka,” katanya.

Tambah Amar Singh, ada antara akaun itu dikenal pasti digunakan lebih 10 kali dalam kes penipuan.

Katanya, jumlah keldai akaun seumpama itu juga semakin bertambah setiap tahun.

“Pada 2015, jumlah akaun terbabit sindiket penipuan adalah sebanyak 5,411 akaun dan meningkat kepada 11,265 akaun sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini,” katanya.

Menurut Amar Singh, pemilik akaun atau keldai akaun itu boleh disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman lima tahun penjara.

“Nasihat saya kepada orang ramai ialah jangan berikan akaun perbankan mereka untuk diguna pihak tertentu kerana boleh dianggap bersubahat,” katanya.

Berita Harian X