Isnin, 22 Oktober 2018 | 4:17pm

3 beranak belasah jiran dipenjara

KUALA LUMPUR: Tindakan tiga beranak yang mencederakan jiran mereka menggunakan besi, topi keledar dan parang, di hadapan sebuah pangsapuri di Batu Caves, bulan lalu, mengundang padah apabila masing-masing dipenjara oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Rosliza Md Isa, 31, dan penjara empat bulan masing-masing terhadap bapanya, Md Isa Ismail, 63, dan adik lelakinya, Ros Iman, 26, selepas mereka mengaku bersalah.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkap, pada 12 September lalu.

Mengikut pertuduhan, tiga beranak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap S Viknes Kumar, 23, menggunakan besi, topi keledar dan parang di hadapan Blok D, Prima Selayang, PS1, Jalan Rawang, Batu Caves di sini, jam 9. 30 malam pada 6 September lalu.

MAHKAMAH menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Rosliza (tiada dalam gambar) dan penjara empat bulan masing-masing terhadap bapanya, Md Isa Ismail (kiri) dan adik lelakinya, Ros Iman (kanan) selepas mereka mengaku bersalah. - NSTP/Mahzir Mat Isa
MAHKAMAH menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Rosliza (tiada dalam gambar) dan penjara empat bulan masing-masing terhadap bapanya, Md Isa Ismail (kiri) dan adik lelakinya, Ros Iman (kanan) selepas mereka mengaku bersalah. - NSTP/Mahzir Mat Isa

ROSLIZA dipenjara lima bulan selepas mereka mengaku bersalah. - NSTP/Mahzir Mat Isa
ROSLIZA dipenjara lima bulan selepas mereka mengaku bersalah. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Iriane Isabelo, Rosliza yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut didenda RM2,000 atas satu lagi pertuduhan iaitu melakukan khianat.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara sebulan, jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin hadapan dan sisi kereta milik J Darshana, 23, teman wanita Viknes Kumar pada tempat, tarikh serta masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Md Isa dan Ros Iman yang diwakili peguam Azman Abdullah memohon hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya sudah insaf dan kejadian itu tidak dirancang.

“Kejadian itu adalah perselisihan faham antara anak guamnya dan pengadu selain mereka susah memohon maaf kepada mangsa dan mahkamah serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi,” katanya.

Sementara itu, Rosliza yang juga ibu tunggal dan tidak diwakili peguam pula memohon hukuman ringan dengan alasan dia menanggung dua anak serta ibu bapanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tiga beranak itu sebagai gangsterisme selain mangsa mengalami kecederaan parah apabila tertuduh menggunakan senjata berbahaya.

“Meskipun mereka tidak mempunyai rekod lampau namun mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang memandu kereta Proton Persona melalui satu lorong di belakang blok D pangsapuri itu dan berselisih dengan motosikal ditunggangi Rosliza.

Dalam masa sama, Rosliza mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa yang kemudian mangsa menegur Rosliza sebelum mangsa yang memandu keluar terlanggar ekzos motosikal Rosliza.

Wanita itu kemudian bertindak menarik baju mangsa sambil meminta ganti rugi kerosakan dan mangsa yang ketakutan melarikan diri sebelum Rosliza bertindak memecahkan cermin kereta itu.

Ketika mangsa melarikan diri, Ros Iman pula datang dan mencederakan mangsa dengan sebatang besi sebelum ayahnya bertindak mencederakannya pula dengan sebilah parang dan laporan polis dibuat berikutan kejadian itu.

Berita Harian X