Isnin, 22 Oktober 2018 | 4:13pm
PASUKAN Bomba dan Penyelamat membawa keluar mayat kelapan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pembinaan Lebuhraya Berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong, hari ini. - Foto BERNAMA

Laporan tanah runtuh Bukit Kukus siap minggu depan

KUALA LUMPUR: Laporan siasatan berhubung insiden tanah runtuh di projek Jalan Berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang, dijangka siap minggu depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, siasatan berhubung tragedi itu, merangkumi sama ada projek itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau sebaliknya.

“Saya akan menerima laporan siasatan minggu depan. Kita akan lihat sama ada ia melanggar SOP atau tidak.

“Siasatan ini akan menjurus mengenai pematuhan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang dipinda baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada tanah runtuh di Bukit Kukus yang mengorbankan tujuh nyawa setakat ini, berpunca kerana projek dilaksanakan tidak mematuhi SOP.

Dalam kejadian itu, lapan mangsa ditemui maut dan dua lagi masih hilang apabila tanah runtuh ke atas kontena yang dihuni pekerja projek yang dijadikan rumah kongsi.

Sebelum ini, sebahagian rasuk konkrit bagi projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, runtuh apabila kren yang mengangkat kepingan plat keluli secara tidak sengaja terkena struktur terbabit.

Baru-baru ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membuat beberapa pindaan pada Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, antaranya mewajibkan mana-mana individu mengemukakan laporan geoteknikal yang disahkan pemeriksa bertauliah bagi projek tanah tinggi dengan kecerunan 25 darjah serta lebih 10 meter ketinggian.

Berita Harian X