Ahad, 21 Oktober 2018 | 2:21pm

Tiga penganggur ditahan bersama dadah, pistol

KOTA BHARU: Polis menahan tiga lelaki bersama dua paket lutsinar disyaki syabu bernilai RM1,641 dan sepucuk pistol jenis Revolver di sebuah rumah di cabang tiga Kampung Bagus, Rantau Panjang, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 11.15 malam, polis turut merampas dua peluru hidup dan satu bilah parang bersarung hitam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, Pahang, yang melakukan tugas risikan sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, ketika serbuan, pasukan berjaya menahan suspek yang semuanya penganggur berusia 33 hingga 41 tahun di rumah sewa terbabit.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dua paket plastik lutsinar disyaki syabu dengan berat 10.94 gram dan sepucuk pistol jenis Revolver berwarna perak bersama dua peluru hidup di sebuah bilik utama rumah terbabit.

“Selepas siasatan dibuat, dadah itu diperoleh daripada pembekal tempatan di kawasan Tendong, Pasir Mas, untuk dipasarkan di kawasan Rantau Panjang serta Pasir Mas. Aktiviti pengedaran dadah bermula sejak September lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebilah parang dan sepucuk pistol jenis Revolver termasuk dua paket lutsinar disyaki syabu bernilai RM1,641 selepas pihaknya menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di cabang tiga Kampung Bagus, Rantau Panjang pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. - Foto Syamsi Suhaimi

“Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ketiga-tiga suspek itu direman selama lima hari bermula Jumaat lalu hingga Selasa untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, sebanyak sembilan kes membabitkan 10 senjata api termasuk sepucuk senapang patah dirampas di kawasan Pasir Mas, tahun ini.

“Keseluruhan kes membabitkan senjata api di Kelantan adalah 19 kes dengan rampasan 22 pucuk pada tahun ini,” katanya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebilah parang dan sepucuk pistol jenis Revolver termasuk dua paket lutsinar disyaki syabu bernilai RM1,641 selepas pihaknya menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di cabang tiga Kampung Bagus, Rantau Panjang pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. - Foto Syamsi Suhaimi
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebilah parang dan sepucuk pistol jenis Revolver termasuk dua paket lutsinar disyaki syabu bernilai RM1,641 selepas pihaknya menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di cabang tiga Kampung Bagus, Rantau Panjang pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. - Foto Syamsi Suhaimi
Berita Harian X