Khamis, 18 Oktober 2018 | 2:05pm
Seorang bayi perempuan cukup sifat seberat 2.8 kilogram (kg) yang lengkap bertali pusat ditemui seorang lelaki di atas sebuah tong di laluan pejalan kaki berdekatan kedai makan di stesen bas bandar Kota Bharu. - Foto ihsan Pembaca/Siti Nor Hidayatidayu Razali

Bayi ditemui dekat stesen bas

KOTA BHARU: Tangisan bayi yang pada mulanya disangka kucing membawa kepada penemuan bayi perempuan berusia seminggu di laluan pejalan kaki berdekatan Stesen Bas di bandar Kota Bharu, hari ini.

Bayi cukup sifat seberat 2.8 kilogram (kg) tanpa berpakaian dan hanya dalam balutan kain warna gelap itu ditemui seorang lelaki berusia 32 tahun pada jam 2.30 pagi.

Susulan itu, lelaki berkenaan memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seorang saksi, Nur Hafiza Razali, 31, berkata bayi itu ditemui di atas sebuah tong berdekatan kedai makannya pada jam 6.30 pagi.

Katanya, dia dimaklumkan bayi perempuan itu masih lengkap bertali pusat dan ditinggalkan dalam kesejukan.

“Ini adalah kali pertama kes pembuangan bayi di sini dan berharap ibu kepada bayi berkenaan dapat dijejaki,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata saksi lelaki bersama dua rakannya berada di kaunter tiket di perhentian bas yang terletak 150 meter dari penemuan bayi.

Katanya, saksi menyangka bunyi kucing dan curiga apabila tangisan makin kuat sebelum mendekati lokasi kejadian.

“Lelaki itu mendapati terdapat seorang bayi perempuan tanpa berpakaian dan hanya dalam balutan kain warna gelap sedang menangis.

Bayi ditemui tanpa sebarang identiti dan tiada kelibat manusia di kawasan itu.

“Bayi itu diletakkan di atas timbunan barangan terpakai di tepi laluan pejalan kaki menuju ke perhentian bas.

“Bayi berkenaan tiada kecederaan dan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati bayi itu tiada suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin).

Katanya, siasatan mendapati terdapat dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan kes itu masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X