Isnin, 15 Oktober 2018 | 8:02pm
SEBAHAGIAN jalan yang dinaiki air di Ibukota. - Foto Ihsan DBKL

Banjir kilat lagi...

KUALA LUMPUR: Beberapa laluan dan kawasan di pusat bandar dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat hampir dua jam sejak jam 3.20 petang tadi.

Antara laluan yang terjejas adalah di Persiaran Ampang Hilir, Jalan Raja Chulan dan Bulatan Pahang di Jalan Tun Razak.

Takungan air akibat banjir kilat di lokasi terbabit pada awalnya mengakibatkan kesesakan lalu lintas, namun keadaan itu beransur pulih sebaik hujan lebat berhenti kira-kira jam 5 petang.

KEADAAN banjir kilat di Kampung Baru. - Foto Ihsan DBKL

Selain itu, empat kawasan penempatan iaitu Kampung Periuk, Kampung Baru; Taman Eastern, Jalan Ipoh; Lorong Kiri 15 Jalan Datuk Keramat dan Kampung Chubadak Tambahan, Sentul; dilaporkan terjejas akibat banjir kilat.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood, berkata pihaknya menerusi Skuad Penyelamat DBKL kini melakukan pemantauan di lokasi yang terjejas terutama kawasan penempatan yang dilanda banjir kilat.

“Buat masa ini kita menerima tujuh laporan kejadian banjir kilat di sekitar ibu negara dan kita sedang melakukan pemantauan dengan bantuan beberapa agensi lain.

“Ada kawasan yang dinaiki air hampir setengah meter namun buat masa ini keadaan masih terkawal dan tiada sebarang pemindahan penduduk dilakukan. Keadaan kini beransur pulih,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurut beliau, selain banjir kilat pihaknya turut menerima satu laporan kejadian pokok tumbang di Tanah Perkuburan Ampang di sini.

“Kita mendapati sebatang pokok tumbang di dalam kawasan perkuburan berkenaan dan kerja pembersihan dilakukan oleh Unit Pohon Rendang DBKL dengan dibantu anggota Skuad Penyelamat DBKL.

“Tiada sebarang kerosakan besar atau kemalangan jiwa berlaku,” tambah beliau.

Sementara itu, pihak DBKL tidak menerima laporan banjir kilat melimpah masuk ke dalam Masjid Jamek seperti yang tular di media sosial dan buat masa ini paras air Sungai Gombak yang terletak berhampiran kawasan berkenaan masih terkawal.

Berita Harian X